Friday, April 13, 2012

Apabila Allah berbicara II

Pemergianku ke Tanah Suci mengajar hakikatku sebagai hamba kepada Tuhannya. Apakah harus aku berburuk sangka dengan Tuhanku apabila diuji dengan ujian? Alangkah berdosanya jiwa ini. Semoga Allah mengampuni setiap dosaku yang timbul dari perasaan itu. Aku dijemput ke Tanah HaramNya tetapi tidak diundang masuk ke dalam rumahNya. Aduh beratnya jiwa menanggungnya. Namun, itulah hikmahnya. Ayat-ayatNya yang mempunyai terjemahan yang kubaca di bilik dan di kawasan saie rupa-rupanya ayat-ayat bicara Allah denganku. Aku sujud taubah kepadaNya sambil merayu memohon dibenarkan masuk ke rumahnya untuk tawaf disekeliling kaabah. Doaku diperkenankan, Alhamdullilah, sempurnalah ibadahku. Namun, hati ini masih rindu, masih belum puas. Ya Allah, Engkau kirimkanlah sekali lagi jemputanMu kepada ku untuk aku berkunjung ke rumahMu lagi.

 

Segala sesuatu yang kita lakukan, buatlah kerana Allah. Bersedekahlah seikhlas hati kerana Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengasihani, Maha Penyayang, Maha Mendengar, Maha Sempurna, Dia mendengar segala-segalanya. Mohonlah petunjuk, mohonlah bantuan padaNya sahaja.

 

Semoga perjalanan ini bukan perjalananku yang terakhir untuk berkunjung ke rumahMu. Sekira ia, jadikanlah perjalanan ini perjalanan taubahku untuk menghapus segala dosa-dosa yang aku lakukan dan balaskan aku dengan syurga. Ya Allah.

Thursday, April 12, 2012

Apabila Allah berbicara

Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar

Sesungguhnya Allah Maha Agung, Tiada Tuhan yang patut Disembah melainkan Allah.

Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, Maha Mengetahui segala rahsia.

Sesungguhnya Allah Maha Bijaksana, Maha Mengasihani.

 

Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar

 

Ya Rabbi, Engkau jadikanlah aku seorang hamba yang sentiasa bertaubat, yang sentiasa mengingati Nama-namaMu. Sesungguhnya aku datang dengan tiada daya, tiada upaya kecuali dengan izinMU, Ya Allah.

 

Sesungguhnya Engkau Maha Lembut, aku diajar dengan cukup lembut. Sesungguhnya Engkau Maha Penyayang, aku diajar dengan penuh kasih sayang. Alhamdullilah, mata ku Engkau buka, hati ku Engkau buka.

 

Ya Rabb, setiap kali berdoa, tiada yang lain ku pinta, jemputlah aku sebagai tetamuMu yang paling istimewa. Kunjunganku memang Engkau sambut dengan penuh istimewa, penuh dengan pengajaran dan ingatan. Aku hanya sedar itu apabila ayat-ayatMu aku baca ketika berada di dalam bilik. Subhanallah, selama yang aku baca ayat-ayatMu, aku tidak menyedari Engkau rupanya berbicara denganku. Astagfirullah, alangkah jahilnya aku. Ampunilah aku Ya Rabb.

 

Dosaku terlalu banyak. Hatiku penuh dengan noda-noda hitam. Dosa dan noda itu telah menutup hatiku untuk menyedari kehadiranMu Ya Allah. Ampunkanlah aku.

 

Ya Allah, ampunkanlah dosa-dosaku. Kirimkan sekali jemputan istimewaMu kepadaku. Aku masih rindu, masih belum puas tawaf disekeliling KaabahMu yang Mulia itu. Aku masih mahu berbicara denganMu Ya Allah.

 

Tiadalah daya bagi ku Ya Allah. Tiadalah upaya bagi ku Ya Allah. Hanya padaMu, aku pinta pertolongan. Ampunkanlah dosa-dosaku.

 

Perjalananku baru bermula. Bimbinglah aku Ya Allah agar perjalananku yang seterusnya di dalam redhaMu. Ya Allah, aku berjanji  akan aku perbetulkan segala kesalahan yang aku lakukan sebelum ini, aku berjanji ya Allah, akan melakukan segala urusanku keranaMu yang Allah. Aku berjanji ya Allah aku akan bersedekah dengan seikhlas hati keranaMu Ya Allah. Aku berjanji ya Allah, aku akan tingkatkan pencarian ilmu agar aku benar-benar faham akan KebesaranMu , ya Allah.