Pemergianku ke Tanah Suci mengajar hakikatku sebagai hamba kepada Tuhannya. Apakah harus aku berburuk sangka dengan Tuhanku apabila diuji dengan ujian? Alangkah berdosanya jiwa ini. Semoga Allah mengampuni setiap dosaku yang timbul dari perasaan itu. Aku dijemput ke Tanah HaramNya tetapi tidak diundang masuk ke dalam rumahNya. Aduh beratnya jiwa menanggungnya. Namun, itulah hikmahnya. Ayat-ayatNya yang mempunyai terjemahan yang kubaca di bilik dan di kawasan saie rupa-rupanya ayat-ayat bicara Allah denganku. Aku sujud taubah kepadaNya sambil merayu memohon dibenarkan masuk ke rumahnya untuk tawaf disekeliling kaabah. Doaku diperkenankan, Alhamdullilah, sempurnalah ibadahku. Namun, hati ini masih rindu, masih belum puas. Ya Allah, Engkau kirimkanlah sekali lagi jemputanMu kepada ku untuk aku berkunjung ke rumahMu lagi.
Segala sesuatu yang kita lakukan, buatlah kerana Allah. Bersedekahlah seikhlas hati kerana Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengasihani, Maha Penyayang, Maha Mendengar, Maha Sempurna, Dia mendengar segala-segalanya. Mohonlah petunjuk, mohonlah bantuan padaNya sahaja.
Semoga perjalanan ini bukan perjalananku yang terakhir untuk berkunjung ke rumahMu. Sekira ia, jadikanlah perjalanan ini perjalanan taubahku untuk menghapus segala dosa-dosa yang aku lakukan dan balaskan aku dengan syurga. Ya Allah.
0 comments:
Post a Comment